Tempat Makan Best di Perlis Yang Mungkin Anda Tidak Tahu
Isi Kandungan
Kepada sesiapa yang masih belum mengunjungi negeri-negeri di sebelah utara tanah air, anda patut berbuat demikian sekarang juga kerana anda pasti terkejut dengan kepelbagaian tempat makan best di Perlis dan juga makanan yang sangat murah yang terdapat di sini. Jika hendak dibandingkan dengan negeri-negeri lain, harga makanan di sini adalah lebih murah. Di sini, nasi lemak berharga RM 1 sangat mudah didapati kerana nasi lemak yang mempunyai pelbagai jenis lauk ini dijual di serata tempat.
Anda pasti boleh berjimat ketika makan di sini dan anda mempunyai banyak pilihan tempat-tempat makan yang popular khususnya di negeri Perlis iaitu salah sebuah negeri di utara tanah air. Tetapi jangan lupa nanti kalau dah sampai Perlis jangan makan jer, boleh cuba melawat tempat menarik di Perlis juga nanti dan jangan anggap negeri Perlis tiada tempat menarik untuk dilawati.
7 Tempat Makan Best di Perlis Yang Patut Anda Cuba
Aura Steamboat N’ Grill
Jika anda ingin memasak dan menikmati makan malam bersama rakan-rakan sambil berkongsi cerita, anda boleh berkunjung di Aura Steamboat N’ Grill yang terletak di Jalan Repoh, Perlis. Aura Steamboat N’ Grill dibuka pada pukul 5 petang sehingga 11 malam.
Aura Steamboat N’ Grill merupakan sebuah restoran steamboat yang memiliki sijil Halal daripada JAKIM dan telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Restoran “Bersih, Sihat dan Selamat”. Restoran steamboat ini dapat menarik ramai pengunjung datang ke sini kerana hampir 100 menu yang dihidangkan pada setiap hari dengan harga serendah RM 18 seorang.
Anjung Keli
Anda mungkin akan terkeliru sebaik sahaja melihat restoran ini, anda akan tertanya-tanya di dalam hati. Ini adalah restoran atau majlis perkahwinan? Anda akan nampak sebuah kawasan lapang yang terletaknya berpuluh-puluh buah kereta dan ianya kelihatan seperti ada majlis perkahwinan sedang berlangsung, sedangkan ianya adalah sebuah restoran yang diberi nama Anjung Keli.
Restoran Anjung Keli yang terletak di Behor Pulai ini merupakan salah satu tempat makan best di Perlis yang mampu memuatkan 500 orang pelanggan sehari dan ini terbukti betapa besarnya restoran ini. Restoran yang terkenal dengan pelbagai jenis masakan ikan keli ini juga menyediakan berpuluh-puluh jenis lauk dan berbelas-belas jenis ulam-ulaman.
Restoran ini bertemakan Warisan Citarasa Tradisi dan atas sebab itu, masakan kampung sangat diutamakan. Di antara makanan yang disediakan di sini ialah ikan keli goreng, ikan keli bakar, ikan keli masak sambal, ikan keli masak lemak cili padi, ikan pari bakar, paru bakar, kerabu pucuk paku, ikan haruan bakar, kerabu kaki ayam, dan ikan terubuk bakar.
Kak Su Laksa
Bagi peminat-peminat laksa, jangan ketinggalan mengunjungi Restoran Kak Su Laksa yang terletak di Kuala Perlis. Penduduk di sini memanggilnya “Laksa Kola” atau “Laksa Kuala” kerana laksa sesedap ini hanya terdapat di Kuala Perlis.
Apa yang menariknya di sini ialah mee laksanya dibuat sendiri dengan menggunakan mesin memproses mee laksa dan sememangnya mee laksa yang dibuat sendiri sangat menyelerakan. Kuahnya pula diperbuat daripada ikan selayang yang segar dan kuahnya yang pekat menjadi kegemaran pengunjung di sini.
Restoran ini juga berbeza dengan restoran-restoran lain kerana restoran ini tutup pada hari selasa dan ini telah memudahkan pengunjung yang tidak berpeluang menikmati laksa pada hari bekerja untuk datang ke restoran ini pada hari minggu.
Selain itu, cara makan laksa di sini juga sangat unik kerana laksa akan dimakan bersama kuih sfera yang kelihatan seperti karipap tetapi sebenarnya kelapa. Bukan itu sahaja, anda akan menjadi bertambah pelik apabila mendengar laksa ini juga dimakan dengan pulut panggang.
Kafe Chortiez & Co
Daging lembu atau kambing? Yang mana satu anda pilih? Kebanyakan orang pasti memilih daging kambing. Di Kangar, terdapat sebuah kafe yang menyediakan makanan berasaskan kambing iaitu Kafe Chortiez & Co.
Kafe ini merupakan kafe yang menyediakan stik yang terbaik di Kangar dan sebab itulah kami masukkan dalam senarai tempat makan best di Perlis kerana kami semamngnya pernggemar kambing. Anda juga pasti terhibur dengan dendangan lagu daripada “live band” sewaktu menjamu selera di sini. Makanan sarapan pagi sahaja sudah cukup menyelerakan.
Di antaranya ialah mee wonton,mee tooyu, roti canai, nasi lemak bungkus, nasi lemak ayam rempah, roti hailam, roti bakar dan kuih-muih. Menu makanan yang paling istimewa di sini adalah kaki kambing dengan sos “Chortiez” dan burger tengkolok. Kedua-dua menu makanan ini begitu istimewa kerana ciri-cirinya sangat unik.
Menu kaki kambing dengan sos “Chortiez” sangat unik kerana ianya jarang dijumpai di mana-mana kedai makanan barat yang lain manakala burger tengkolok dikatakan unik kerana kejunya terletak di dalam daging burger itu sendiri berbanding dengan burger biasa yang mengandungi keju di atas daging burger sahaja.
Nasi “Ganja” Repoh
Kebanyakan orang sudah mengenali nasi “ganja” yang digelar sebegitu kerana kapasitinya yang membuatkan orang ramai ketagih untuk mendapatkannya lagi. Di Repoh, walaupun ianya kelihatan seperti gerai biasa,tetapi anda jangan terkejut kalau berduyun-duyun orang membanjiri gerai ini untuk membeli nasi “ganja”.
Daripada bau keenakan ayam yang digoreng panas-panas, ketul-ketul ayam yang besar sehinggalah kepada keharuman bau nasinya telah memanggil-manggil orang ramai untuk mengunjungi gerai ini.
Capati Labu Sayung
Selalunya anda makan capati hanya di restoran-restoran nasi kandar atau kedai-kedai mamak, tetapi di Perlis, capati boleh didapati di sebuah kedai makan yang terkenal di sini iaitu Capati Labu Sayung.
Kedai makan best di Perlis yang terletak di Bintong ini dikenali ramai kerana capatinya lembut, kepingan capati yang nipis dan kuahnya yang beraneka seperti sardin, ayam, kari dan dalca. Kedai makan ini digelar Capati Labu Sayung kerana setiap meja ada sebuah labu sayung yang merupakan maskot kedai ini.
Restoran Hussin Yahya
Jika anda tidak tahu hendak makan apa di waktu petang, di sini ada jawapannya iaitu di Restoran Hussin Yahya. Restoran ini menyediakan mee goreng yang lain dari yang lain kerana rasanya yang sangat sedap ini tidak pernah berubah dari tahun ke tahun dan kuantiti mee goreng ini sangat banyak seperti makanan untuk dua orang.
Harga mee goreng ini tidak semahal harga di pekan-pekan. Selain itu, restoran ini juga menyediakan lauk-pauk untuk juadah di tengah hari.
Tidak lupa juga dengan “pasemboq” yang terkenal di utara tanah air juga ada dijual di sini. Bukan itu sahaja, perkhidmatan yang cekap dan cepat juga dipamerkan oleh restoran ini.
Jom ke Perlis dan Serbu Tempat Makan Best di Perlis ini Sekarang
Apa tunggu lagi, jom pakatlah ramai-ramai ke negeri Perlis untuk menikmati makanan yang sangat menyelerakan dengan harga yang juga sangat berbaloi. Seperti juga anda membeli barangan lain, membeli makanan juga anda kena bijak membeli dan menang memakai.