Isi Kandungan
Selain Terengganu, Sabah Negeri Di Bawah Bayu juga terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya yang dipenuhi dengan pelbagai hidupan laut dan batu karang yang sangat mempesonakan. Dengan dikelilingi oleh pulau – pulau menarik di Sabah ini, negeri Sabah menjadi tumpuan utama bagi para pelancong yang menggemari percutian di pantai dan laut.
Bukan pelancong tempatan sahaja, ramai pelancong dari luar negara juga sudah mula mengenali dan mengunjungi kebanyakkan pulau di sini. Dengan adanya resort dan pelbagai kemudahan, pulau-pulau di sini semakin popular dan dikenali ramai.
Pulau Menarik di Sabah Yang Anda Wajib Kunjungi Ketika Melancong Ke Negeri Bawah Bayu
Jika anda menginginkan aktiviti pantai dan laut yang menyeronokkan seperti snorkeling, diving dan mandi-manda bersama keluarga, jom lihat 5 pulau menarik di Sabah yang anda pasti tidak sabar ingin mengunjunginya.
5. Pulau Sipadan
Salah satu pilihan pulau menarik di Sabah ialah Pulau Sipadan yang merupakan pulau kecil yang terletak di Semporna Sabah, hanya berkeluasan 5 kilometer panjang dan 2 kilometer lebar. Pada tahun 1933, Pulau Sipadan telah diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar dan persekitaran semulajadinya masih terpelihara sehingga hari ini.
Satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur ini terkenal sebagai antara destinasi skuba yang terbaik di dunia kerana mempunyai pelbagai spesies hidupan laut dan terumbu karang yang cantik dan terpelihara.
Pulau ini juga dikatakan menjadi tempat persinggahan penyu belimbing dan sisik bertelur, jadi sesiapa yang teringin melihat penyu, jangan lepaskan peluang singgah ke sini. Terdapat beberapa kawasan “hot spot” di sini, di mana anda boleh melihat lebih banyak hidupan laut yang bermacam-macam jenis iaitu Barracua Point, Turtle Cavern (Gua Penyu), Coral Garden, Drop Off, Hanging Garden dan Mid Reef.
4. Pulau Mabul
Pulau Mabul terletak di kawasan air laut jernih Laut Celebes dan hanya 25 minit sahaja daripada Pulau Sipadan dengan menaiki bot. Pulau ini dikelilingi oleh terumbu karang yang lembut pada kedalamanan 2 hingga 40 meter.
Pulau yang dikatakan mempunyai pemandangan bawah laut yang sangat cantik ini merupakan kediaman bagi suku kaum Bajau Laut. Dengan keluasannya yang lebih besar daripada Pulau Sipadan, Pulau Mabul mempunyai lima buah resort yang didirikan untuk pengunjung yang datang, empat resort terletak di pulau manakala satu lagi terletak di atas sebuah platform minyak yang telah diubahsuai iaitu kira-kira 500 meter dari pantai.
Aktiviti utama yang dilakukan di sini ialah snorkeling dan diving. Bot ulang alik disediakan oleh pihak resort jika anda ingin ke Pulau Sipadan atau Pulau Kapalai. Di sini, anda berpeluang melihat hidupan laut seperti kuda laut, tapak sulaiman, ikan gobi “Fire”, ikan buaya, belut laut dan macam-macam jenis hidupan eksotik lain.
3. Pulau Manukan
Pulau Manukan adalah salah satu daripada 5 buah pulau yang termasuk dalam Taman Negara Tunku Abdul Rahman, terletak kira-kira 30 minit dari Kota Kinabalu Sabah. Selain Manukan, Taman Negara ini terdiri daripada Pulau Sapi, Pulau Gaya, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug.
Pulau-pulau ini menjadi tempat perlindungan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Anda pasti terpegun melihat keindahan air laut di sini yang cukup jernih dan pasir pantainya yang putih.
Terdapat pelbagai kemudahan pelancongan yang disediakan di sini berbanding pulau yang lain seperti resort, restoran, tandas awam serta alat-alat menyelam juga mudah untuk didapatkan. Suasana di sini yang begitu tenang dan cantik sangat sesuai untuk bersantai, mandi-manda dan melakukan aktiviti snorkeling.
Anda berpeluang melihat bermacam-macam jenis ikan di sini yang gemar berenang di persisiran pantai. Jika anda ingin menikmati suasana malam di pulau ini, Manukan Island Resort adalah salah satu resort yang sangat sesuai untuk dijadikan tempat menginap kerana mempunyai kemudahan yang lengkap seperti kolam renang, restoran dan gelanggang tennis.
2. Pulau Kapalai
Tidak ramai orang mengetahui kewujudan Pulau Kapalai yang sangat unik ini. Tersembunyi di antara Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, Pulau Kapalai ini sebenarnya hanyalah landaian pasir yang besar dan dikelilingi oleh terumbu karang yang dipanggil Terumbu Ligitan.
Uniknya pulau ini kerana ia bukan lagi sebuah pulau, hanya tinggalan kesan daripada hakisan. Sebuah resort yang bertaraf lima bintang telah dibina di atas air di sini iaitu Sipadan-Kapalai Dive Resort. Pulau ini sesuai untuk dikunjungi oleh pengunjung yang menggemari aktiviti snorkeling dan diving.
Banyak kemudahan disediakan oleh pihak resort untuk aktiviti menyelam di sini termasuklah pakar menyelam yang berpengalaman. Air yang sangat jernih di sini membolehkan anda untuk melihat dari atas berbagai-bagai jenis ikan bermain-main di celah terumbu karang.
1. Pulau Mataking
Pulau Mataking terkenal sebagai sebuah destinasi untuk berbulan madu kerana suasananya yang tenang, cantik dan cukup romantik. Pulau Mataking terletak di tenggara negeri Sabah, ia terdiri daripada dua pulau iaitu Mataking Besar dan Mataking Kecil.
Hanya sebuah resort sahaja dibina di pulau ini iaitu The Reef Dive Resort. Jangan tidak percaya resort mewah ini ada menyediakan pakej-pakej perkahwinan bagi sesiapa yang ingin melangsungkan perkahwinan di pulau ini.
Sangat rugi rasanya jika tidak melakukan aktiviti menyelam dan terokai kawasan batu-batu karang di sekeliling pulau ini untuk melihat berbagai-bagai jenis hidupan marin.
Antara kawasan menyelam yang popular di sini adalah Frog Fish Farm, Sweet Lips Rock, Stingray City, Shipwreck Post, Turtle Playground, Eye Candy dan banyak lagi. Anda juga berpeluang untuk melihat penyu hijau dan penyu karah bertelur di pantai antara bulan Mei hingga Ogos.
Apa tunggu lagi, Jom kemas kita melawat pulau menarik di Sabah
Tidak perlu lagi hendak ke luar negara untuk menikmati suasana pulau yang cantik, sedangkan di Malaysia juga terdapat banyak lagi pulau-pulau yang setanding dan menarik yang tidak diketahui orang Malaysia sendiri. 5 pulau ini hanyalah sebahagian daripada pulau-pulau yang terdapat di negeri Sabah. Keindahan dan keunikan yang tersendiri pulau-pulau di sini pasti membuat anda kagum dan teruja serta bangga kerana adanya pulau sebegini di Malaysia.
Visitor Rating: 5 Stars