15 Tempat Menarik di Hatyai: Syurga Makanan Kaki Travel
Isi Kandungan
- Tempat Menarik di Hatyai | Keindahan Percutian Di Selatan Thailand
- 15. Klong Hae Floating Market
- 14. Wat Hatyai Nai
- 13. Hatyai Park Lantern Festival
- 12. Hatyai Wonders Land
- 11. Magic Eye 3D Museum
- 10. Asean Night Bazaar
- 9. Hatyai Municipal Park
- 8. Hatyai Cable Car
- 7. Hatyai Observatory
- 6. Prueksa Theme Park / Hatyai Wine Village
- 5. Steel Pagoda / Pagoda Besi
- 4. Chang Puak Camp
- 3. Terowong Bersejarah Khao Nam Khang
- 2. Namtok Ton Nga Chang
- 1. Samila Beach
- Jom Bercuti Ke Selatan Thai dan Lawati Tempat Menarik di Hatyai
Pemilihan Hatyai sebagai destinasi percutian bukanlah sesuatu yang luar biasa lagi. Ini kerana, terdapat banyak tempat menarik di Hatyai yang kini menjadikan Hatyai destinasi percutian pilihan terbaik secara backpackers mahupun berkeluarga.
Merupakan bandar terbesar di daerah Songkhla, kini Hatyai mula menjadi lokasi utama percutian pilihan terutamanya ketika cuti sekolah dan hujung minggu. Bagi anda yang belum pernah menjejakkan kaki ke Hatyai, terdapat beberapa tempat menarik di Hatyai yang ingin kami kongsikan sekiranya anda berhasrat untuk berkunjung ke sana.
Salah satu sebab yang menjadikan Hatyai dan Songkhla sebagai sebuah destinasi popular hujung minggu adalah kerana lokasinya yang tidak terlalu jauh hanya di selatan Thai dan banyak pakej-pakej berpatutan yang ditawarkan dengan menggunakan Van atau Bas setiap hujung minggu atau backpacking dengan kereta Api.
Tempat Menarik di Hatyai | Keindahan Percutian Di Selatan Thailand
Sebagai salah satu bandar yang terbesar di Thailand, tidak hairanlah betapa banyaknya tarikan tempat menarik di Hatyai terutamanya gerai makan, pusat urutan badan dan tempat-tempat membeli-belah, mana tak seronok pelancong yang datang.
Mesti ramai yang nak tahu apa lagi yang best di Hatyai? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Hatyai ini, mungkin boleh dijadikan sebagai panduan untuk anda merancang percutian ke Selatan Thailand nanti,
15. Klong Hae Floating Market
Menjadi suatu kemestian bagi sesiapa sahaja yang datang bercuti ke Hatyai untuk menjejakkan kaki ke Pasar Terapung ini. Dengan keunikannya yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman di atas deretan sampan pastinya menarik ramai pengunjung untuk merasai pengalaman serta suasana membeli belah seperti itu.
Tidak terhad kepada jualan menggunakan sampan sahaja, pengunjung juga boleh membeli barangan-barangan lain seperti pakaian dan cenderahati di kedai-kedai yang terdapat di bahagian darat pasar tersebut.
14. Wat Hatyai Nai
Seringkali menjadi tumpuan pelancong asing, Wat Hatyai Nai mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Menempatkan patung Buddha ketiga terbesar di Thailand, patung yang berada dalam posisi mengiring ini menjadikan ianya lain daripada yang lain. Patung yang berukuran 35 meter panjang ini pastinya memberi satu pengalaman baru yang tidak mungkin anda temui di tempat yang lain.
13. Hatyai Park Lantern Festival
Pesta Loy Krathong pastinya menjanjikan satu pengalaman yang berbeza dan mengujakan sekiranya anda mengunjungi Hatyai apabila tiba musim keraiannya. Umpama pesta cahaya, anda bakal disajikan dengan pelbagai jenis aktiviti seperti menerbangkan tanglung di udara, persembahan tarian tradisi masyarakat Thailand dan juga pemandangan yang mengasyikkan dengan nyalaan lilin yang dilepaskan ke dalam sungai pada waktu malam.
Pesta yang diadakan setahun sekali ini disambut oleh masyarakat tempatan mengikut kiraan kalendar Lunar Thailand iaitu ketika bulan penuh pada bulan ke 12 kalendar Lunar tradisional mereka. Bagi sesiapa yang berhasrat untuk menyaksikan pesta Loy Krathong pada tahun ini, anda bolehlah merancang percutian anda kerana pesta ini akan berlangsung pada 13 November 2019 nanti.
12. Hatyai Wonders Land
Mengumpulkan pelbagai aktiviti dalam satu kawasan, pastinya memudahkan para pengunjung merancang aktiviti sepanjang percutian. Taman tema Hatyai Wonders Land ini menyediakan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan terutamanya bagi mereka yang sukakan aktiviti santai bersama keluarga.
Terdapat 3 aktiviti yang boleh dilakukan di dalam taman ini seperti melihat dan bergambar dengan lukisan-lukisan 4D, menonton acara silap mata serta mandi-manda di taman tema air mereka.
11. Magic Eye 3D Museum
Bagi pengunjung yang datang ke Hatyai bersama keluarga, anda bolehlah singgah di Muzium Magic Eye 3D ini kerana ianya sangat sesuai untuk semua lapisan umur terutamanya kanak-kanak.
Dengan bayaran sebanyak 400 Baht, pengunjung dapat melihat dan bergambar sepuasnya berlatar belakangkan lukisan 3D yang terdapat di dinding-dinding dan lantai muzium ini, seolah-olah anda berada di dunia nyata dengan sentuhan lukisan yang seakan-akan hidup di dalamnya.
Kedudukannya yang strategik iaitu di dalam Central Festival Mall, membolehkan anda mencuba aktiviti lain seperti bermain ice-skating yang turut berada di dalam bangunan yang sama.
10. Asean Night Bazaar
Kedudukannya yang berhampiran dengan Central Festival Mall ini memudahkan anda untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan ini. Bagi anda yang gemar membeli-belah dengan cara tawar menawar, Asean Night Bazaar adalah pilihan yang paling tepat dan sesuai untuk dikunjungi.
Bukan itu sahaja, bagi penggemar street food lokasi ini juga pastinya memberikan anda kepuasan kerana terdapat pelbagai jenis pilihan makanan dan minuman yang dijual serta dijamin halal. Selain itu, terdapat juga pelbagai barangan lain yang boleh anda dapati di sini seperti pakaian, phone case, cenderahati dan bermacam-macam lagi.
9. Hatyai Municipal Park
Sekiranya anda ke Hatyai, jangan lupa untuk singgah di Hatyai Municipal Park ini. Taman ini merupakan tempat keagamaan bagi penganut agama Buddha yang menempatkan beberapa tokong dan patung Buddha di dalam kawasan tersebut. Terletak kira-kira 6 kilometer dari pusat bandar Hatyai, taman yang mempunyai replikasi patung besar Buddha Ketawa ini seringkali menjadi tumpuan pengunjung yang datang ke sini.
Bukan itu sahaja, lokasi ini amat strategik kerana kedudukannya yang berhampiran dengan lokasi-lokasi menarik di Hatyai yang lain menjadikan taman ini sebagai pusat tumpuan sebelum mengunjungi tempat-tempat berhampiran.
8. Hatyai Cable Car
Terletak berhampiran Hatyai Municipal Park, Hatyai Cable Car akan menyajikan anda dengan panorama indah yang terdapat di sekitar bandar Hatyai. Dengan kadar bayaran 200 Baht, anda bukan sahaja boleh menikmati pemandangan bandar Hatyai dari atas bukit tetapi anda juga dapat melihat patung besar Brahma yang terdapat di kawasan berhampirannya.
Bagi anda yang tidak tahu, Hatyai Cable Car ini mempunyai 2 stesen perhentian perhentian iaitu di Thao Maha Phrom dan juga Phra Buddha Mongkol yang mana terdapat patung-patung gajah yang diletakkan di sekitarnya.
7. Hatyai Observatory
Selain Hatyai Cable Car, Hatyai Observatory juga merupakan salah satu kawasan tarikan pengunjung yang berada berhampiran dengan Hatyai Municipal Park. Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga terutamanya kanak-kanak, tempat ini juga pastinya bakal memberi keterujaan kepada mereka.
Terdapat pelbagai sudut menarik yang boleh dilawati di dalam pusat ini sambil mempelajari ilmu-ilmu berkaitan astronomi di mana anda boleh melihat pameran foto-foto berkaitan ilustrasi bintang-bintang, bulan serta planet-planet yang terdapat di semesta ini.
6. Prueksa Theme Park / Hatyai Wine Village
Prueksa Theme Park atau dikenali juga sebagai Hatyai Wine Village merupakan salah satu tarikan baru tempat menarik di Hatyai. Kawasan yang bercirikan Eropah ini sememangnya mampu menggamit pengunjung untuk singgah ke sana.
Bagi mereka yang suka bergambar, kawasan ini semestinya bakal menjadi antara tempat menarik yang boleh anda lawati kerana terdapat pelbagai replika menarik seperti kincir angin, istana berkonsepkan Disney, kereta kuda Cinderella dan juga merry-go-round.
Dengan kemasukan percuma, anda juga boleh melihat haiwan-haiwan yang terdapat di dalam kawasan tersebut seperti biri-biri, arnab dan juga burung nuri. Sambil berjalan-jalan, anda juga boleh menonton persembahan daripada live band yang diadakan pada setiap malam di dalam kawasan sekitarnya.
5. Steel Pagoda / Pagoda Besi
Reka bentuk bangunannya yang unik dan menarik seringkali menjadi tumpuan pengunjung yang berkunjung ke Hatyai. Melihat kepada ketelitian binaan ini, sememangnya ia layak diiktiraf sebagai salah satu Pagoda terunik di dunia. Struktuk binaan yang diperbuat daripada besi ini tambah menarik dengan kewujudan loceng dan gong disekeliling Pagoda Steel.
Bagi pengunjung yang berkunjung ke pagoda ini pada waktu malam, pastinya anda akan disajikan dengan panorama yang berbeza dan mengasyikkan dengan kilauan lampu yang dipancarkan dari dalam pagoda tersebut.
4. Chang Puak Camp
Thailand sememangnya begitu sinonim dengan penggunaan gajah. Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman menaiki gajah, anda bolehlah berkunjung ke Chang Puak Camp yang dibuka setiap hari kepada pengunjung.
Selain menaiki gajah, anda juga boleh mencuba aktiviti lain yang terdapat di kem tersebut seperti sukan memanah, menembak dan merasai pengalaman menaiki ATV.
3. Terowong Bersejarah Khao Nam Khang
Bagi pencinta sejarah, lokasi ini sememangnya akan memberikan anda satu pengalaman berbeza. Pernah menjadi kubu persembunyian rahsia Parti Komunis Malaya, Terowong Khao Nam Khang ini sememangnya kaya dengan tinggalan sejarah lama.
Terowong 3 tingkat yang mempunyai kira-kira 100 buah bilik ini mampu memuatkan 200 orang pada satu-satu masa suatu ketika dahulu. Terletak di Selatan Thailand, Terowong Khao Nam Khang ini merupakan satu-satunya terowong terbesar dan terpanjang yang menggunakan 100 peratus tenaga manusia.
2. Namtok Ton Nga Chang
Namtok Ton Nga Chang atau lebih dikenali sebagai Air Terjun 7 tingkat ini merupakan salah satu tarikan semula jadi yang terdapat di Hatyai. Merupakan salah satu detinasi tempat menarik di Hatyai yang popular terletak di Ton Nga Chang Wildlife Sanctuary, air terjun ini dikatakan yang tercantik yang terdapat di Thailand kerana keunikannya yang menyerupai bentuk gading gajah.
Untuk sampai ke kawasan ini, anda bolehlah menggunakan trek yang telah disediakan oleh pihak sanctuary untuk menerokai dan merasai sendiri pengalaman mandi-manda di setiap tingkat air terjun ini.
1. Samila Beach
Menyaksikan pemandangan matahari terbenam, pastinya memberikan anda satu pengalaman yang cukup indah. Bagi pengunjung yang bercuti di Hatyai, anda bolehlah berjalan-jalan di sekitar Pantai Samila sambil menikmati angin laut dengan menunggang kuda padi disepanjang pesisir pantai.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh bergambar di sekitar tugu The Golden Mermaid, Hatyai Dragon Head serta replika kucing dan tikus yang mempunyai kisah disebalik setiap replika itu.
Jom Bercuti Ke Selatan Thai dan Lawati Tempat Menarik di Hatyai
Ini adalah 15 tempat menarik di Hatyai yang kami kongsikan. Sekiranya masih ada lagi yang belum disenaraikan boleh letakkan di ruangan komen. Kongsikan pengalaman anda ketika bercuti di Hatyai Thailand. Mungkin masih ramai lagi yang masih belum sampai ke daerah Selatan Thai ini.
Baca Juga: Tempat Menarik di Singapura
Musim cuti sekolah nanti, bolehlah meletakkan Hatyai dalam list tempat untuk bercuti tak kira secara backpacker atau percutian bersama keluarga.